Quantcast
Channel: | PADUKA PULAI |
Viewing all 52 articles
Browse latest View live

KHALIFAH DAN KHUTBAH JUMAAT

$
0
0
MENDOAKAN SULTAN DALAM KHUTBAH JUMAAT 

Apakah kisah di sebalik doa dalam 'Khutbah Jumaat' dan kaitannya dengan Sultan ? 


Tradisi Khalifah (Caliph Tradition)

Membaca khutbah. Antara 2 khutbah, ada doa yg khusus untuk Sultan. Ia adalah tradisi kerajaan Khalifah Islam. Diwarisi daripada kerajaan Abbassiyah, Fatimiyah dan diteruskan ke Uthmaniyah. 

Hampir kesemua kerajaan Khalifah2 Islam menggunakan khutbah untuk mendoakan Khalifah2nya. Tidak kira siapa. Daripada yang Abd. Rahman Agung, sampai ke Timerlane Yang Kejam, semua mempraktikkan tradisi yang sama - mendoakan Khalifah. 

Tiada kaitan dengan perangai alim atau sebaliknya. Cuma orang2 melayu liberal yang anggap kalau doa mesti kena jadi alim. 

Peneraju (Pioneer)

Sementara di sini pula, tradisi mendoakan Khalifah pertama kali digunapakai semasa pemerintahan Tuanku Sultan Abu Bakar. Disebut nama khalifah, bersama2 dengan penaung nya khalifah Uthmaniah masa itu. 

Sehingga dipinda pada tahun 1924 sejak kejatuhan kerajaan Khalifah Uthamaniah, namun dikekalkan bagi Sultan2 Negeri Johor sebagai penyambung tradisi khalifah itu.

Dan.. seterusnya DITIRU (diikuti) oleh negeri2 Melayu lain.

Wallahualam. 
------------------------------------------------
Credit: Mo Razzi dan the Unekspected - UntoldHistory 
NotaKaki:
Dalam kitab Muniyatul Mussoli karangan Sheikh Daud Fathani ada tertulis yang jika rakyat melakukan banyak dosa dan juga maksiat, Allah akan berikan Raja yang zalim dan jika rakyat ikut perintah Allah, akan Allah berikan raja yang alim lagi adil.
Dalam kitab yang sama juga, ada menyatakan bahawa antara hak seorang Sultan itu ialah didoakan didalam solat Jumaat. 

Mustahil MB Johor Bukan Melayu

$
0
0

Pelantikan Menteri Besar dalam kalangan orang bukan Melayu dan bukan Islam adalah mustahil berdasarkan peraturan yang termaktub di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1885.

Pensyarah Kanan Fakulti Sejarah dan Pengajian Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Kasim Tukiman berkata, Perkara 34 dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1885 memperuntukkan kuasa mutlak Raja (Sultan) untuk melantik Menteri Besar.

Selain itu katanya, Perkara 34 berkenaan juga termaktub di bawah Perkara 31 iaitu Jemaah Menteri termasuk Menteri Besar mestilah terdiri daripada rakyat Johor yang beragama Islam dan berbangsa Melayu. 

“Menurut Perkara 34 di dalam undang-undang berkenaan ada menyebut bahawa Raja berkuasa mutlak untuk melantik Menteri Besar.

“Perkara ini juga termaktub di bawah Perkara 31 yang menyebut jemaah menteri termasuk menteri besar perlu mengangkat sumpah bahawa dia merupakan rakyat Johor yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“Maknanya jika dilihat berdasarkan perkara-perkara ini adalah mustahil dan tiada kemungkinan bahawa menteri besar akan dipilih dari kalangan orang bukan Melayu dan bukan beragama Islam,” katanya. 

Bagaimanapun dalam Perkara 47 undang-undang berkenaan, ada memperuntukkan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) boleh dari kalangan pemimpin bukan beragama Islam dan bukan Melayu.

“Dalam Perkara 47 ini tidak diwajibkan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri terdiri daripada orang Melayu dan beragama Islam tetapi mestilah wajib dari kalangan rakyat Johor,” katanya. - Sinar

-Rujukan 1-
-Rujukan 2

Jangan bagi Pembangkang menang di Johor - Dr Mahathir

$
0
0


Rakyat Johor disaran tidak membenarkan sama sekali calon Pakatan Rakyat (PR) menang sama ada kerusi Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rekod dan prestasi Johor sebagai 'deposit tetap' Barisan Nasional (BN) perlu dikekalkan.

"Melalui apa yang media laporkan, mereka (pembangkang) mahu bertanding di Johor. Jadi saya mahu tidak ada calon dari parti lawan dibenarkan menang di Johor.

"Kekalkan rekod Johor, prestasi Johor sebagai 'fixed deposit' BN," katanya semasa berucap pada program Bicara Perdana Bersama

Pemimpin Ulung di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permas, di sini malam tadi.

Pada kali ini, dua pemimpin kanan PR iaitu Lim Kit Siang dan Salahuddin Ayub masing-masing Penasihat DAP dan Naib Presiden Pas akan bertanding di Johor.

Sambil menyifatkan Johor sebagai contoh negara, Dr Mahathir berbangga dengan rakyat Johor dan pencapaian pada pilihan raya umum terdahulu kerana terus menyokong serta memilih BN.

"Harap Johor akan menang tiap-tiap pilihan raya umum dan kemenangan diraih adalah 100 peratus.

"Inilah Johor iaitu sebuah negeri yang mencerminkan Malaysia. Negeri berbilang bangsa dan agama sentiasa memberi kerjasama serta sokongan kepada pemimpin-pemimpin BN yang bertanding seterusnya membawa kemenangan," katanya.

PARLIMEN BUBAR HARI INI

$
0
0

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

Beliau mengumumkan pembubaran itu menerusi siaran langsung khas semua stesen televisyen di seluruh negara. 

Sebelum itu, Najib menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah jam 8.25 pagi dan meninggalkan istana kira-kira 45 minit kemudian. 

Perdana Menteri kemudian mempengerusikan mesyuarat Kabinet terakhir di Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya, jam 9.30 pagi.

Hadir sama ketika pengumuman itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kabinet.

Dalam pengumumannya, Najib berkata, beliau sudah menghadap awal pagi tadi dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen ke-12.

Perdana Menteri juga mengumumkan semua kerajaan negeri dinasihatkan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing; kecuali Sarawak berkuat kuasa pada tarikh sama, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak. 

Sementara itu, empat negeri di bawah pentadbiran pembangkang iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor sepakat membubarkan DUN masing-masing serentak dengan Parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) difahamkan akan mengeluarkan kenyataan media hari ini dan dijangka bermesyuarat beberapa hari lagi bagi menetapkan tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian.

Setakat ini, hanya DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac 2013 apabila tempoh mandat lima tahunnya berakhir tengah malam sebelumnya, sekali gus mencatat sejarah pembubaran DUN pertama secara automatik di Negara ini.

Pembubaran itu berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri di bawah Fasal 5(3) yang menyatakan Dewan Negeri berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama dan kemudiannya dibubarkan kecuali dibubarkan terlebih dahulu.

"Saya Bukan Lagi Presiden PBNJ" - Tunku Mahkota Johor

$
0
0

"Saya, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Makhkota Johor, dengan ini ingin memaklumkan bahawa saya telah membuat keputusan dan mendapat titah perkenan dari DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Darul Ta’zim, dan juga hasil daripada perbincangan bersama Penasihat Undang-undang Negei Johor, dengan ini, saya meletakkan jawatan saya sebagai Presiden dalam Persatuan Bolasepak Negeri Johor.

Keputusan ini saya buat kerana saya merasakan jika saya "memegang jawatan sebagai Presiden dan pada masa yang sama saya juga adalah Tunku Mahkota Johor, maka amat sukar untuk saya mentadbir urus Persatuan Bolasepak Negeri Johor yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM.

Oleh kerana itu, saya membuat keputusan untuk menjadi dan mentadbir PBNJ sebagai Penaung, serta merta mulai hari ini. Ini kerana mengikut hirarki protokol, saya sebagai Tunku Mahkota Johor adalah selayaknya memegang jawatan sebagai Penaung dalam PBNJ. Dengan jawatan saya sebagai Penaung, ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang dan juga kelebihan bagi saya mentadbir urus dalam PBNJ termasuklah dalam aspek pengurusan kewangan, kebajikan kakitangan PBNJ dan juga pemain-pemain di samping dapat membuat keputusan yang lebih tepat apabila saya memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam persatuan ini.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penyokong bolasepak negeri Johor di seluruh pelusuk tanah air yang mana telah bersusah payah beramai-ramai memberi sokongan yang tidak terbatas kepada pasukan bolasepak negeri Johor selama ini. Sokongan padu daripada anda semua amatlah saya hargai dan saya harapkan agar ianya berterusan sampai bila-bila kerana dengan adanya sokongan anda, pasukan Johor boleh terus gah berdiri di persada bolasepak tanah air.

Untuk makluman semua, jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor Darul Ta’zim selepas ini akan disandang oleh YB Dato’ Haji Obet Bin Tawil, Setiausaha Kerajaan Johor. Saya berharap anda semua dapat memberi sokongan yang penuh kepada beliau dan anda semua tidak perlu risau kerana saya sentiasa berada di sini bersama anda semua sebagai Tunku Mahkota Johor dan juga saya akan sentiasa memantau dan mengikuti segala perjalanan dan juga aktiviti bolasepak negeri Johor ini dari perigkat akar umbi sehinggalah ke peringkat yang lebih global.

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan penyokong-penyokong bolasepak negeri Johor yang selama ini menyokong dan memberi kepercayaan kepada saya dalam menaikkan nama baik PBNJ. Saya juga menyeru agar sokongan padu dari para penyokong akan sentiasa berterusan demi menaikan imej dan juga mutu pemain-pemain bolasepak negeri Johor dan juga PBNJ.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullah Hiwabarhakatuh."

Sumber : JOHOR FAN CLUB

TELOK BELANGAH JAJAHAN JOHOR

$
0
0

SINGAPURA - Kedudukannya di bumi asing, tidak menghalang imam Masjid Temenggong Daeng Ibrahim dekat Telok Belangah di sini, mengekalkan tradisi sejak 167 tahun lalu, membacakan Khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Mufti Johor, lengkap dengan doa untuk Sultan dan rakyat Johor. 

Keadaan itu membuatkan jemaah yang pertama kali menjejak kaki bersolat Jumaat di masjid yang terletak berhampiran kota hiburan Pulau Sentosa, itu pasti tertanya-tanya mengenai pengurusannya yang mempunyai ciri sama dengan masjid lain di Johor.

Berhampiran pintu masuknya, bendera Johor dan Jalur Gemilang berkibar megah pada dua tiang yang didirikan, bukti pengurusan masjid yang dibina sejak 1845 itu hingga kini masih di bawah kelolaan Jabatan Agama Johor (JAJ) menyebabkan khutbah Jumaat dan doa yang disampaikan tertakluk kepada Jabatan Mufti Johor. 

Malah, enam kakitangan tetap masjid membabitkan imam serta bilal, dua noja, penjaga makam serta tukang kebun adalah rakyat Johor yang dihantar bertugas sepenuh masa oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan tinggal di kuarters di situ. 

Masjid terletak atas kawasan seluas 0.7 hektar itu juga menempatkan Makam Diraja Telok Belangah dengan 32 makam kerabat diraja Johor zaman silam termasuk Sultanah Khadijah Khanum, Temenggong Abdul Rahman dan Temenggong Daeng Ibrahim selain mempunyai 2,000 kubur lama. 


Kunjungan ke Masjid Temenggong Daeng Ibrahim pada Jumaat lalu, mendapati hampir 1,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan dengan khutbah dan doa dibacakan Imam Suhaimi Sulaiman, 24, yang dihantar menyandang jawatan itu sejak November lalu. 

Pengerusi masjid, Mohd Azman Mohsin, berkata kedudukan di Jalan Telok Belangah membuatkan masjid itu dijadikan lokasi persinggahan rakyat Malaysia yang berkunjung atau bekerja di Singapura.

“Setiap kali masuk waktu solat, azan dikumandangkan dan biasanya pada waktu Zuhur dan Maghrib, masjid ini dipenuhi penduduk tempatan. Selain solat Jumaat, masjid ini juga menyediakan kelas pembelajaran al-Quran,” katanya. 

Katanya, sejarah masjid terbabit bermula ketika zaman Kesultanan Johor di Singapura apabila Temenggong Daeng Ibrahim, menyerahkan Balairung Seri istana baginda untuk dijadikan masjid pada 1845. 

“Masjid itu asalnya hanya dikenali sebagai Masjid Kampung Telok Belangah sebelum bertukar nama kepada Masjid Jamek Kerajaan Negeri Johor yang turut dikenali sebagai Masjid Telok Belangah. 

“Selaras peredaran masa, masjid asalnya dirobohkan pada 1993 untuk pembinaan baru dengan kos RM2.5 juta dibiayai sepenuh Almarhum Sultan Iskandar yang menitahkan supaya ciri masjid Johor dikekalkan dalam seni binanya. 

“Masjid baru siap pada 1996 dinamakan Masjid Temenggong Daeng Ibrahim berupaya memuatkan 1,500 jemaah pada satu masa, ” katanya. 

Mohd Azman yang juga Kadi Johor Bahru, berkata mimbar asal masjid berusia 143 tahun dipindahkan ke Johor pada 1991 dan ditempatkan di Galeri Pusat Islam Iskandar di Johor Bahru dengan tiangnya tercatat tarikh mimbar itu disiapkan pada 1289 Hijrah, bersamaan 1868 masihi. 

SENARAI MENTERI BESAR JOHOR

$
0
0

  1. Datuk Jaafar Mohamed (1886 - Jul 1920)
  2. Datuk Mohamed Mahbob (Jul 1920 -1922)
  3. Dato' Abdullah Jaafar (Sep 1923 - 1928)
  4. Dato' Mustapha Jaafar (16 Sep 1928 - 23 Nov 1931)
  5. Datuk Abdul Hamid Yusof (23 Nov 1931 - 28 Dis 1934)
  6. Ungku Abdul Aziz Abdul Majid (Apr 1935 - 1 Jun 1947)
  7. Dato' Onn Jaafar (1 Jun 1947 - 18 Mei 1950)
  8. Datuk Syed Abdul Kadir bin Mohamed (20 Feb 1952 - 5 Jun 1955)
  9. Datuk Wan Idris bin Ibrahim (1 Okt 1955 - 16 Jun 1959)
  10. Tan Sri Hassan Yunos (27 Jun 1959 - 31 Jan 1967)
  11. Tan Sri Othman Saat (Feb 1967 - Apr 1982)
  12. Datuk Abdul Ajib bin Ahmad (29 Apr 1982 - 12 Ogos 1986)
  13. Tan Sri Muhyiddin Yassin (12 Ogos 1986 - 3 Mei 1995)
  14. Dato' Haji Abdul Ghani Bin Othman (3 Mei 1995 - 14 Mei 2013)
  15. Datuk Seri Mohamed Khaled Bin Nordin (14 Mei 2013 - kini)

KEM KEPIMPINAN ANAK JOHOR IPT

$
0
0
KEM KEPIMPINAN ANAK JOHOR IPT 

Tarikh : 
17 - 19 Mei 2013
Tempat : 
Pulau Bidong, Terengganu
Anjuran : 
Sekretariat Anak Johor (SOHOR) UMT & 
Gabungan Mahasiswa Anak Johor (GAJ)









Tiga Perkara Dalam Hidup

$
0
0
Tiga perkara dlm hidup yg tidak boleh kembali :
1. Waktu
2. Kata-kata
3. Kesempatan

Tiga perkara yg boleh menghancurkan hidup seseorg :
1. Kemarahan
2. Keangkuhan
3. Dendam

Tiga perkara yg tidak boleh hilang :
1. Harapan
2. Keikhlasan
3. Kejujuran

Tiga perkara yg paling berharga :
1. Kasih Sayang
2. Cinta
3. Kebaikan

Tiga perkara dlm hidup yg tidak pernah pasti :
1. Kekayaan
2. Kejayaan
3. Mimpi

Tiga perkara yg membentuk watak kita :
1. Komitmen
2. Ketulusan
3. Kerja keras

Tiga perkara yg membuat kita berjaya :
1. Tekad
2. Kemahuan
3. Fokus

Tiga perkara yg tidak pernah kita tahu :
1. Rezeki
2. Jodoh
3. Nasib

TAPI, ada Tiga perkara yg PASTI :
1. Tua
2. Sakit
3. Mati

SI BONGKOK TANJUNG PUTERI

$
0
0
TANJUNG Puteri (Johor Bahru) sebelum merdeka.

HUJAN baru sahaja reda. Hutan dan denai yang kami rentasi masih terasa basahnya. Tanah merah yang dipijak melekat pada kasut dan meninggalkan jejak. Sesekali bahu disapa nakal sisa titisan air hujan yang jatuh dari dedaunan.
Saat kaki berwaspada daripada tersadung akar pokok, mata terbeliak dikejutkan dengan dua ekor khinzir yang berlari meluru secara membabi buta. Memang kecut perut dibuatnya!
Itulah sebahagian rintangan yang terpaksa krew Jurnal lalui dalam usaha mengenali seorang lelaki bernama Si Bongkok. Pusara individu misteri itu dikatakan terletak lebih satu kilometer ke dalam hutan di Tanjung Belungkur, Johor.
Nama Si Bongkok mungkin tidak asing bagi rakyat negeri Johor sementelah ia disebut dalam lagu malar segar Tanjung Puteri.
Lagu yang dinukilkan pada 1950-an itu boleh dikatakan begitu mesra di telinga dan terus bermain di bibir rakyat negeri itu. Cuma, siapakah Si Bongkok yang disebutkan dalam bait-bait lagu itu tidak ramai individu ingin membongkarnya.
Pastinya Si Bongkok seorang yang penting. Kalau tidak, masakan ia disebutkan dalam lagu patriotik dan dikatakan menjadi lagu jati diri negeri Johor itu.
Tidak mungkin ia sekadar menceritakan tentang Tanjung Puteri yang merupakan nama lama Johor Bahru selain retorik dan kisah dongeng semata-mata.
Nama Si Bongkok mula dipopularkan oleh budayawan, Allahyarham Shaharom Husain menerusi pementasan drama berjudul Si Bongkok Tanjung Puteri di Dewan Jubli Intan Johor Bahru seawal tahun 1961.
Si Bongkok disifatkan telah bersemadi bersama sejarahnya yang terkambus. Dia dikatakan seorang pahlawan yang namanya terpadam dalam lembaran sejarah malah tidak hairanlah jika ada yang menyifatkan dia tidak wujud.
“Ada orang Johor yang tahu cerita tentangnya dan ada yang tidak tahu. Bagi saya, dia bukan pengkhianat, sebaliknya dia ialah seorang yang membela bangsa dan tanah airnya.
“Walaupun saya hanya mendengar ceritanya secara lisan, saya tetap percaya apa yang diceritakan. Semangatnya memperjuangkan tanah air membuatkan saya menjadikannya sebagai idola,” kata anak jati Johor, Khairil Muadzam Syah Jalil, 30.
Lanun baik
Khairil yang kesal kerana kisah Si Bongkok tidak banyak dihebahkan memberitahu, beliau hanya mengetahui tentang tokoh itu menerusi cerita mulut datuknya dan buku sejarah lama.
“Kisahnya menarik. Orang kata, dia lanun tapi lanun yang baik. Dia menyerang kapal-kapal Barat demi menyekat kemaraan mereka di Johor. Dia amat benci penjajah.
“Dia melanun sebagai caranya menentang penjajah. Dia merompak kapal mereka untuk tujuan baik, macam Robin Hood,” kata Khairil yang merupakan seorang peniaga saat ditemui di Tanjung Puteri baru-baru ini.

TANJUNG Belungkur merupakan antara lokasi pusara Si Bongkok selain di Johor Bahru.
Tanjung Puteri yang terletak berdekatan Tambak Johor kini menjadi kawasan pelabuhan khas pihak kastam.
Khairil juga mempercayai mayat Si Bongkok bersemadi di Riau, Indonesia selepas jatuh ke dalam sebuah lubang gua akibat satu pertarungan.
Menyedari terdapat pelbagai versi cerita mengenai Si Bongkok, Jurnal mendapatkan penjelasan daripada Yayasan Warisan Johor.
Pegawai sejarah di yayasan berkenaan, Kamdi Kamil menerangkan kisah sebenar yang dipercayai ahli sejarah.
Menurut Kamdi, kisah Si Bongkok berlaku pada pertengahan abad ke-19 iaitu sekitar tahun 1855 hingga 1870.
Negeri Johor pada ketika itu diperintah oleh Temenggung Daeng Ibrahim. Pada tahun 1855 pusat pentadbiran Johor telah dipindahkan dari Teluk Belanga, Singapura ke Tanjung Puteri.
Ketika pemerintahan Temenggung Ibrahim di Tanjung Puteri, muncul seorang lelaki yang cacat fizikalnya tetapi mempunyai keberanian menentang campur tangan Inggeris dalam pentadbiran dan ekonomi Johor.
“Dia memang dilahirkan bongkok, badannya bengkok ke kanan dan mukanya herot ke kanan. Walaupun dia cacat tapi dia mempunyai fizikal yang kuat.
“Badannya besar dan gagah,” katanya sambil memberitahu Si Bongkok cekap bermain senjata seperti badik dan sangat mahir ilmu kelautan dan pelayaran.
“Ini mungkin kerana dia merupakan Orang Laut yang mahir dengan ilmu kelautan. Dia lahir dalam keluarga orang kebanyakan,” ujar Kamdi, anak kelahiran Batu Pahat.
Berebut Tanjung
Pada masa itu, Singapura telah dikuasai Inggeris dan Inggeris berniat untuk meluaskan jajahannya di Johor.
Mereka juga berusaha mengaut hasil-mahsul Johor seperti lada hitam, gambir, rotan dan damar serta dibawa ke Singapura selaku pusat pengumpulan hasil sebelum dibawa ke Eropah.
“Keadaan itu menimbulkan kemarahan Si Bongkok. Lalu, dia berjuang memusnahkan kapal-kapal dagang Inggeris. Dia melanun sekitar Selat Tebrau dari Pengerang hingga ke Kukup, perairan Kuala Sungai Johor dan perairan Singapura.
Hal itu telah membawa kesusahan kepada Inggeris. Gabenor Negeri-Negeri Selat, W.J Butterworth amat marah dan mahu kegiatan lanun dihapuskan. Pelbagai cara telah digunakan untuk menumpaskan Si Bongkok, ketua kumpulan lanun.
PERJALANAN ke pusara Si Bongkok mengambil masa sekitar 10 minit.

Namun, ia tidak berjaya kerana dia dikatakan pahlawan yang handal, kebal dan tidak lut senjata tajam.
“Si Bongkok juga dikatakan mencintai gadis yang sama dengan adiknya, Panglima Putih. Hayatnya dikatakan berakhir apabila dia tertikam dirinya ketika bertarung dengan adiknya di Tanjung Puteri,” katanya sambil memberitahu gadis itu merupakan Tanjung, anak kepada Datuk Penggawa Timur.
Beritahu Kamdi, Si Bongkok dilihat dari dua persepsi. Masyarakat setempat menganggapnya sebagai wira yang pantang melihat negeri Johor dikuasai bangsa asing.
Sementara, Inggeris dan pemerintah pada masa itu melihatnya sebagai penderhaka dan pengkhianat kerana melakukan pembunuhan dan perompakan sesuka hati sekali gus menjejaskan aktiviti perdagangan amnya di salah sebuah pusat perdagangan utama selepas kejatuhan Melaka.
“Antara sebab juga sejarahnya tidak banyak diperkatakan mungkin kerana perjuangannya agak berbeza daripada sebahagian tokoh pejuang Johor yang cenderung menggunakan kepintaran berbanding pertumpahan darah.
“Johor merupakan satu-satunya negeri di Tanah Melayu yang tidak dikuasai Inggeris secara langsung. Datuk Abdul Rahman Andak misalnya amat menentang Inggeris tetapi dia memilih cara diplomasi dan kebijaksanaan,” ujarnya.
Pusara
Mengenai pusara Si Bongkok kini, Kamdi berkata, terdapat beberapa pendapat iaitu di lereng bukit Tanjung Puteri seperti yang disebut pada bait lagu Tanjung Puteri, kawasan Mahmoodiah dan Tanjung Belungkur.
Kamdi meyakini Tanjung Belungkur ialah tempat yang tepat kerana Tanjung Belungkur dipercayai kampung halaman Si Bongkok.
“Ada juga kemungkinan, Panglima Putih mengarahkan agar pusara adiknya dipindahkan dari Tanjung Puteri ke Tanjung Belungkur,” ujarnya.
Penulis novel Si Bongkok Tanjung Puteri dan pengkaji sejarah, Abdul Latip Talib turut berpendapat pusara Si Bongkok yang sebenar ialah di Tanjung Belungkur.
“Berdasarkan kajian saya dan pandangan penduduk sekitar Johor, pusaranya di Tanjung Belungkur. Dulu, pusaranya agak terbiar dan hanya bernisankan kayu tapi saya ambil inisiatif letak nisan batu,” katanya.
Abdul Latip juga menyifatkan Si Bongkok merupakan seorang pahlawan yang patut dikenang dalam sejarah.
“Dia lanun, tapi dia juga pahlawan kerana menentang penjajah. Dia hanya memusnahkan dan menyerang kapal dagang Inggeris. Namanya terpadam dalam sejarah kerana kebanyakan kisah sejarah ditulis oleh Inggeris.
PUSARA Si Bongkok di Tanjung Belungkur, Kota Tinggi, Johor.

“Mengapa setelah lebih 50 tahun negara kita merdeka, kita masih mengikut telunjuk Inggeris menganggap dirinya sebagai penderhaka? Kenapa kita tidak boleh menganggap lanun yang menentang penjajah sebagai wira?
“Orang Inggeris sendiri menganggap lanun-lanun mereka sebagai pahlawan. Lanun Viking yang menguasai Ireland, Scotland, Perancis dan Rusia dianggap sebagai membantu memperkukuhkan kekuasaan Inggeris berbanding penjajah Barat yang lain,” katanya. Inggeris juga terkenal dengan lanun-lanun mereka seperti Edward Teach atau ‘Blackbeard’ dan Calico Jack Rackham.
Sementara itu, pegawai kastam di Pangkalan Marin Kastam di Tanjung Puteri, Syed Idid, 57 menceritakan, beliau telah mendengar bermacam-macam cerita pelik di kubur Si Bongkok di lereng bukit Tanjung Puteri, tidak jauh dari Kompleks Kastam.
“Orang cakap ada kawasan berhampiran pokok besar itu tidak boleh dibangunkan. Ramai juga pengamal seni bela diri yang pergi bertapa di situ,” ujarnya.
Ramdan Sayon, 40 individu yang memandu kami ke pusara di Tanjung Belungkur memberitahu, dia mengetahui selok-belok jalan hutan ke pusara ini melalui datuknya.
“Saya cari sendiri pun tidak jumpa, lepas ditunjukkan datuk baru jumpa. Sekarang sayalah orang yang dicari kalau sesiapa nak ke pusara itu.
“Ramai yang pergi sendiri tidak menjumpainya dan ada juga yang dilaporkan sesat,” ujarnya.
===========================
Sumber Artikel : Link 

Jom Support Siri Animasi Si Bongkok : Link

KENYATAAN MEDIA TUNKU MAHKOTA JOHOR

$
0
0
KENYATAAN MEDIA 
OLEH DYAM TUNKU ISMAIL IBNI SULTAN IBRAHIM, TUNKU MAHKOTA JOHOR
BERTARIKH 5 JUN 2013
Melihat keadaan semasa dalam FAM, sukar membayangkan akan berlaku peruahan-perubahan positif dalam landskap bolasepak Negara ini. Mungkin dua puluh tahun daripada sekarang pun, kita akan menghadapi kemelut yang sama. Kita lebih gemar mengundang pasukan-pasukan luar seperti Chelsea untuk beraksi di sini, tetapi mengabaikan pembangunan bakat baru dari kalangan belia dan hal-hal kritikal berkaitan bolasepak Negara.

Apabila saya dikenakan tindakan penggantungan selaku presiden PBNJ, saya dimaklumkan bahawa tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang. Sebelum ini, segala hukuman akan dijatuhkan oleh Lembaga Disiplin dan Tatatertib FAM. Tetapi dalam kes Pahang menentang Johor Darul Takzim dalam perlawanan separuh akhir Piala FA, hukuman telah dijatuhkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan. Kita juga tidak diberikan ruang untuk membuat sebarang rayuan atas denda tersebut. Pada saya, ianya bukanlah soal kewangan, tetapi soal keadilan dalam layanan terhadap persatuan-persatuan bolasepak. Ini jelas menunjukkan bahawa FAM boleh membuat keputusan dan mengubah peraturan sewenang-wenangnya.

Saya pernah menyuarakan tentang mutu pengadil yang mengadili perlawanan bolasepak tempatan. Pada masa kini, pengadil perlawanan bolasepak liga tempatan adalah berstatus semi-profesional, dan dengan itu, boleh dikatakan berada pada tahap amatur. Oleh kerana menyuarakan berkenaan isu tersebut, saya telah didenda dan digantung. Ramai sebelum saya juga telah menerima nasib yang sama, semua kerana memberikan pendapat dan cadangan bagi mempertingkatkan mutu bolasepak Negara ini. Mengapa tidak boleh menyuarakan pendapat dan memberi pandangan? Isu-isu penting dalam bolasepak Negara harus diberi perhatian dan diketengahkan. FAM tidak membenarkan persatuan-persatuan dan individu menyuarakan sebarang pendapat atau pandangan. Jadi bagaimana saya hendak memberi pandangan dan berkongsi pendapat berkenaan hal-hal penting berkaitan bolasepak, jika FAM seolah-olah keberatan untuk bekerjasama? Saya telah menulis surat-surat kepada FAM termasuk surat berkaitan mutu pengadilan di Negara ini, namun tidak mendapat maklum balas. Saya menyuarakan pendapat saya kepada media kerana rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui situasi sebenar. Bolasepak bukan suatu entiti persendirian milik mana-mana individu, ianya adalah untuk semua lapisan rakyat.

FAM sepatutnya berterima kasih kepada Johor kerana menjadikan arena bolasepak tempatan lebih menarik dan meriah. Setiap perlawanan melibatkan JDT disambut dengan kehadiran ramai penyokong di stadium, selain penonton yang ramai dalam siaran televisyen. Syabas juga diucapkan kepada pasukan Kelantan, Selangor, ATM dan pasukan-pasukan lain kerana menambahbaik landskap bolasepak tempatan. Oleh yang demikian, bolasepak Malaysia menjadi lebih dinamik dan kompetitif.

Satu lagi perkara yang saya ingin sentuh adalah berkaitan dengan pendapatan daripada siaran langsung perlawanan bolasepak oleh Astro. Saya dimaklumkan bahawa untuk setiap perlawanan yang ditayangkan secara langsung di televisyen, persatuan bolasepak tuan rumah akan menerima RM15,000. Sehingga kini, saya masih belum melihat satu sen pun daripada hasil tersebut.

Semalam, PBNJ telah menerima satu surat amaran, supaya tidak membuat lagi sebarang kenyataan media mengkritik FAM. Pihak FAM hendaklah tidak mengambil kesempatan untuk mengenakan denda kepada PBNJ bagi kenyataan ini, kerana saya mengeluarkannya selaku Tunku Mahkota Johor, dan bukannya selaku presiden PBNJ yang digantung. Kenyataan ini bukan bertujuan untuk membelakangkan mana-mana individu atau persatuan bolasepak, tetapi untuk mengetengahkan isu-isu penting dalam bolasepak tempatan. Sekiranya FAM merasakan perlu untuk mengenakan denda terhadap saya, saya akur. 

Ada yang menasihati saya supaya bertanding untuk jawatan dalam FAM, tetapi saya ingin menegaskan bahawa saya tidak berminat terhadap sebarang jawatan dalam FAM. Sejujurnya, saya akan mengutamakan Johor, dan oleh yang demikian, saya tidak layak memegang sebarang jawatan dalam FAM. Saya melakukan semua ini hanya kerana cinta terhadap sukan bolasepak. Mereka yang memegang jawatan dalam FAM mestilah telus dan adil kepada semua pasukan yang bersaing dalam liga tempatan. Keutamaan mereka mestilah untuk meningkatkan kualiti bolasepak dalam Negara. 

BATU ASAS JOHOR MODEN

$
0
0

Mungkin ada antara orang Johor yang mengetahui atau tidak mengetahui peristiwa dan tempat terletaknya "batu asas" negeri Johor moden.

Semuanya bermula pada tahun 1855, apabila Temenggong Daeng Ibrahim, Tengku Temenggong Sri Maharaja Johor berlayar bersama anaknya Ungku Wan Abu Bakar (kemudiannya Sultan Abu Bakar) dan pengikut-pengikutnya dari Teluk Blangah ke Tanjung Puteri. 

Setelah berlabuh, baginda, anak dan pengikut-pengikutnya menempuh hutan belantara mendaki sebuah bukit. Sampai di puncak bukit tersebut, kesemua terpegun dengan keindahan panorama Selat Tebrau di hadapan mereka. 

Untuk memperingati peristiwa tersebut, bendera Johor (1855) telah dipacakkan di puncak bukit tersebut yang kemudiannya dinamakan sebagai Bukit Bendera. Tanjung Puteri dinamakan sebagai Iskandar Puteri dan kemudiannya berubah kepada nama kepada Johor Bahru.

Pada hari ini, Bukit Bendera dikenali dengan nama Bukit Timbalan. Tapak bendera Johor yang dipacak pertama kali dahulu, kekal hingga ke hari ini dan masih megah mengibarkan bendera negeri Johor merentas waktu sebagai saksi pembangunan negeri Johor moden dari mula, kini dan akan datang.

Sumber gambar :
(1) Gambar kiri atas : Ilustrasi peristiwa meletakkan bendera Johor di puncak Bukit Bendera bermulanya era Johor Moden. Ilustrasi ini hasil lukisan pelukis Razalli Lesut yang dipamerkan di Persada Johor.

(2) Gambar kiri bawah : Gambar poskad lama yang menunjukkan tapak dan bendera Johor pada tahun yang tidak diketahui maklumat masanya. berkemungkinan akhir 1890an. sumber dari buku "Johor : Local History, Local Landscapes 1855 - 1957" karangan P. Lim Pui Huen.

(3) Gambar kanan : Gambar yang diambil di Bukit Timbalan pada 5 Jun 2013.

Info dikongsi daripada : Encik Cot

Peminat Bertambah: Adakah FAM Bersedia?

$
0
0
APABILA peminat bolasepak di Malaysia meningkat secara mendadak dalam tempoh yang singkat, apa kahimplikasinya? 

Semua sedia maklum bahawa rakyat Malaysia kini sudah kembali meminati sukan bola sepak negara, khususnya dalam kancah Liga Super dan saingan Piala FA.


Difahamkan, jumlah peminat semakin meningkat setelah skuad Harimau Malaya berjaya memenangi pingat emas di Sukan Sea 2009 dan menjadi johan Piala Suzuki AFF 2010.

Kejayaan ini telah membawa semangat baru kepada peminat negara sejak zaman kegemilangan bola sepak pada tahun 70-an.

Pertambahan peminat ini juga sedikit sebanyak dibantu oleh prestasi semasa pasukan negeri seperti yang dilakukan The Red Warriors (TRW) yang berjaya meraih treble, tahun lalu.

Tahun 2013 pula menyaksikan peningkatan ketara peminat di Johor setelah revolusi pasukan bola sepak Johor dilakukan dan melahirkan skuad Johor Darul Takzim (Johor DT) yang terdiri daripada pemain ternama.

Persoalannya, adakah peningkatan mendadak peminat bola sepak ini selari dengan kemampuan dan kemajuan dunia bola sepak di negara ini?

Adakah badan-badan lain seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pengurusan stadium dan anggota keselamatan selari dengan pertambahan mendadak jumlah peminat ini?

Jika diambil contoh terdekat, insiden pembelian tiket Final Piala FA, baru-baru ini, yang menyaksikan berlakunya rusuhan peminat akibat tiket habis dijual dalam tempoh tidak sampai 15 minit.

Tiket tersebut habis dijual walaupun seawal 10 minit selepas kaunter tiket dibuka pada jam 9 pagi semalam.

Kebanjiran peminat ini juga dapat dilihat ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala FA ketika Pahang menentang Johor DT di Stadium Darul Makmur, 28 Mei lalu. 

Perlawanan itu terpaksa dibatalkan gara-gara limpahan penonton yang akhirnya mengheret kepada senario kekecohan.

Perlawanan yang sepatutnya bermula pada jam 8.45 malam itu terpaksa ditangguhkan selama lebih sejam kerana berlaku limpahan penonton memasuki stadium iaitu kira-kira 40,000 orang.

Peningkatan jumlah peminat ini juga tidak disokong oleh faktor keselamatan dalam stadium kerana jika dilihat dalam perlawanan yang sengit, jumlah anggota keselamatan masih lagi kurang.

Anggota keselamatan seharusnya ditambah di setiap perlawanan bola sepak membabitkan pasukan yang mempunyai jumlah peminat yang ramai seperti Kelantan, Pahang dan Johor DT.

Aspek keselamatan ini juga perlu disokong dengan kemudahan stadium yang baik termasuk jumlah tempat duduk yang banyak dan aliran pintu masuk yang lebih teratur.

Aliran pintu masuk ini penting bagi mengelakkan insiden peminat terpaksa bersesak-sesak untuk keluar masuk stadium akibat jumlah penyokong yang terlalu ramai.

Hari ini akan berlangsungnya perlawanan akhir Piala FA di antara Kelantan menentang Johor DT di Stadium Bukit Jalil.

Peminat sukan pastinya akan melihat stadium nasional ini dibanjiri penyokong kedua-dua pasukan sehingga tiada kerusi dan ruang yang kosong.

Semua pihak perlu mengambil serius peningkatan mendadak peminat sukan bola sepak. Ini kerana jika hanya peminat sahaja yang bertambah, tetapi kumpulan sokongan masih lagi ditakuk lama, Malaysia sukar untuk mengekal 'aura' peminat ini dalam tempoh yang lama.

Ini terbukti pada tahun 90-an di mana stadium kekurangan penonton dan peminat tidak menyokong pasukan mereka kerana prestasi yang merudum ketika itu.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga perlu memainkan peranan sebagai badan yang berfungsi mengawal selia kemajuan sukan bola sepak negara.

Diharap, Menteri KBS yang baru, Khairy Jamaluddin dapat memberi nafas baru kepada masalah ini supaya peminat di negara ini dapat terus bertambah dan mutu bola sepak negara setaraf dunia luar.

DI-RAJA JOHOR-POLIS

$
0
0

Di kalangan rakyat Johor sudah biasa terlihat kenderaan berwarna merah ini. Tidak kira di mana lokasinya, sama ada di jalan bandar, jalan kampung ataupun di lebuhraya. Pasti mata yang menyaksikannya akan terpegun melihatnya sehinggalah hilang dari pandangan. Dan jika berpeluang melihatnya dari dekat, pasti tidak melepaskan kesempatan untuk mengambil gambar. 

Ini ialah kenderaan rasmi pengiring Kerabat Diraja Johor, unit escort Tuanku dan Tunku. 

Semua DYMM Sultan dan Raja mempunyai unit escort khas yang dikelolakan oleh PDRM. Unit escort khas inilah yang akan mengiring Sultan/Raja negeri serta kerabatnya seperti Tengku Mahkota, Raja Muda, Permaisuri/Sultanah, atau kerabat yg lain. Perbezaan bilangan escort dan peranan anggota bergantung pada skala atau kepentingan majlis/tempat/tujuan itu sendiri.

Bezanya di Johor, anggota-anggota PDRM yang ditugaskan untuk mengiring DYMM Sultan Johor serta ahli kerabatnya menggunakan kenderaan-kenderaan yang disediakan sendiri khas oleh DYMM Sultan Johor. Kenderaan khas ini juga diselenggara sendiri. Fungsi mereka sama seperti polis pengiring di negeri-negeri beraja yang lain. 

Kenderaan "Di-raja Johor-Polis" ini dikendalikan oleh PDRM sama seperti polis pengiring yang lain. Bezanya kenderaan tersebut termasuk motorsikal Harleys Davidson adalah kurniaan DYMM sendiri kepada PDRM Johor, sementara negeri-negeri lain selesa menggunakan kenderaan yang disediakan atau diperuntukkan oleh PDRM seperti Perdana V6, Motor Trafik Honda dan lain-lain kenderaan polis. 

Isu DYMM Sultan Johor ada kenderaan polis sendiri bukanlah baru cuma masih ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu mengenai perkara ini. Almarhum Sultan Iskandar juga menggunakan Rolls Royce dan Holdens sebagai kenderaan pengiring yang dikendalikan oleh anggota PDRM dan ianya dibiayai oleh wang peribadi Almarhum sendiri. 

Mungkin ada yang pernah dengar atau tahu, yang mana Sultan Johor pernah mendermakan 10 lori "fire brigade" kepada pihak bomba australia dan beberapa kapal terbang perang kepada British Army. 

#NotaKaki: "Cara Johor, Hanya Orang Johor yang Mengerti."

Mula Bertugas di Yayasan Pelajaran Johor

$
0
0
Assalamualaikum. Salam Muafakat Johor.

Hari ini, tanggal 3 Februari 2014, secara rasmi saya telah melapor diri dan mula bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Yayasan Pelajaran Johor (YPJ). 


Alhamdulillah, setinggi-tinggi rasa kesyukuran saya zahirkan ke hadrat Allah swt atas limpah anugerahnya yang memberikan saya sumber rezeki ini. Terima kasih kepada ayah dan mama saya, juga tunang saya dan rakan-rakan. Doakan semoga saya sentiasa bersedia dan mampu memikul tugas dalam kerjaya ini demi meneruskan perjalanan hidup sebagai hamba-Nya. 

Pertama kali bila tahu akan bertugas di pejabat kerajaan, memang berdebar sangat rasa. Sejak menerima surat tawaran pelantikan hingga hari pertama nak melangkah masuk ke pejabat, kemudian bertemu pengurus bahagian/unit untuk sesi pengenalan pejabat dan jawatan. Kebetulan pada hari ini juga, YPJ meraikan kedatangan Pengurus Besar yang baharu. 

Sebagai seorang Penolong Pegawai Tadbir di bawah Bahagian/Unit Perancangan Korporat, saya bertanggungjawab terhadap setiap perancangan dan penganjuran semua program atau aktiviti yang melibatkan pelajar/mahasiswa Johor, sama ada di IPT dalam negara mahupun di IPT luar negara. 

Akhir sekali, saya ucapkan terima kasih dan penghargaan khas kepada rakan-rakan perjuangan saya yang bersama-sama dalam organisasi Gabungan Mahasiswa Johor (GAJ), kerana dari situlah bermulanya penglibatan aktif saya dalam gerakan persatuan mahasiswa Johor, yang mendidik diri saya dengan nilai-nilai kepemimpinan, kesukarelawanan, pengalaman/pengetahuan ama dan pelbagai lagi, yang seterusnya membantu saya membina jaringan komuniti pelajar Johor dan masyarakat setempat. 

JDT DAN INDUSTRI BOLA SEPAK NEGARA

$
0
0

1. Kita semua tahu bagaimana pasukan bola sepak Johor telah berubah daripada pasukan biasa kepada antara kuasa bola sepak di Malaysia.


2. Bukan sekadar mengubah nama, JDT dibarisi pemain-pemain kebangsaan. Servis pemain import berkelas A juga digunakan untuk menguatkan pasukan. Antaranya Pablo Aimar- bekas pemain kebangsaan Argentina.

3. Tidak cukup dengan itu, pengurus pasukan sehinggalah staf JDT terdiri daripada tenaga luar.

4. Stadium Tan Sri Hassan Yunos dinaik taraf bertepatan dengan standard antarabangsa. Kualiti padangnya antara yang terbaik di negara. Tahap kecerahan lampu limpah di stadium adalah 1200 lux- melebihi 1000 lux seperti ditetapkan FAM.

5. Selain mengenalkan konsep ‘season pass’, JDT juga antara terawal yang bakal mempunyai JDT TV.

6. Seperti TRW dan Selangor, kini JDT mempunyai penyokong setianya sendiri. ‘Rivalry’ di antara JDT-TRW pula antara perlawanan yang dinanti-nantikan.

7. Mungkin pengkritik akan berkata ini semua boleh dibuat kerana JDT ada banyak duit. Tetapi duit sahaja tidak akan menjadikan sebuah pasukan bola sepak itu tersusun dan berjaya. Bagaimana duit itu digunakan adalah lebih penting.

8. FAM sudah berpuluh tahun mempunyai banyak duit. Beberapa pasukan bola sepak juga kaya. Tetapi sehingga ke hari ini jualan tiket masih secara manual. Kualiti padang pula sering menjadi isu.

9. Apa yang dilakukan oleh JDT dari segi pengurusan perlu dipelajari oleh pasukan bola sepak yang lain. Pasukan bola sepak, sekiranya betul-betuk diurus boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan.

10. Bukan sahaja hasil jualan tiket, malahan jualan barangan rasmi pasukan, penajaan jersi, hak siaran perlawanan dan iklan di tepi padang mampu memberi pulangan yang lumayan. Ini tidak dicampur dengan industri hiliran seperti gerai-gerai makan yang menayangkan perlawanan bola ‘live’, lawatan ke stadium seperti ke bilik persalinan pemain dan sebagainya.

11. Untuk permulaan, pelaburan yang dibuat sememangnya menelan kos yang tinggi. Kerajaan negeri mungkin tidak begitu berminat membelanjakan wang sebegitu banyak hanya untuk pasukan bola sepak. Oleh itu, kerajaan pusat boleh menyediakan geran atau ‘soft loan’ kepada pasukan pasukan ini.

12. Syarikat-syarikat korporat atau ahli perniagaan perlu diajak melabur. Mesti ada sebilangan yang berminat kerana bola sepak adalah sukan kegemaran ramai. Apatah lagi prospek menjadi sebahagian daripada pembangunan pasukan bola sepak di negeri/kawasan sendiri.

13. FAM perlu memberi kelonggaran dalam hal ini. Jangan hadkan pemilikan pasukan bola sepak kepada kerajaan negeri dan kerabat diraja.

14. Di United Kingdom, bola sepak adalah satu industri yang bernilai billion ringgit. Daripada pemain, hinggalah ke kelab serta media- semuanya dibayar dengan lumayan. Malaysia, dalam ingin menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi haruslah menceburi industri ini. Apatah lagi seperti UK, kita adalah negara yang gilakan bola sepak. Dan perkara ini perlu dieksploitasi sebaik mungkin.

15. Apa yang dilakukan oleh JDT dalam menjadikan sukan bola sepak menarik haruslah dipuji. Ia adalah langkah yang tepat.

Sumber : matrodi.my

BANGSA JOHOR

$
0
0

Kenapa 'Bangsa Johor' ?

1. Suatu Idea Negara-Bangsa yang telah dicetuskan oleh Dato' Sir Onn Bin Jaafar (1940-an). 

2. Oleh kerana tidak dipersetujui di peringkat persekutuan oleh Tunku Abdul Rahman, Dato' Onn Jaafar telah mempraktikkannya di Johor dengan perkenan istana. 

3. Tambahan, sememangnya menjadi wawasan Sultan Sir Abu Bakar dan kemudian diteruskan oleh Sultan Sir Ibrahim untuk membentuk rakyat Johor bawah satu nama, BANGSA JOHOR. 

4. Lantas baginda sama sekali tidak menggunapakai istilah 'Rakyat'. Kerana istilah itu umpama satu yang bermaksud semua (pelbagai). Berbanding istilah 'Bangsa Johor, iaitu semua bermaksud satu.

5. Matlamatnya, demi menjamin dan mengukuhkan perpaduan, keharmonian, kesejahteraan serta kemakmuran negeri dan masyarakat. 

6. Jelas, idea pembentukan Bangsa Johor telah sekian lama wujud sebelum terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu lagi. 

7. Johor pada ketika itu telah memiliki bendera negeri lebih awal (1871) berbanding negeri-negeri Melayu lain. 

8. Lagu rasmi negeri diberi nama lagu "Bangsa Johor" mengesahkan bahawa idea awal pembentukan negara bangsa bermula dan bertapak di negeri ini. 

9. Malah di Johor, Sultan dan kerabat menjadikan warna biru sebagai warna utama apabila bercemar duli. Bukan warna kuning yang umumnya diketahui sebagai warna diraja. Inilah warna yang melambangkan raja dan rakyat. 

10. Menjadikan Johor sebagai 'role-model', akhirnya kerajaan persekutuan akur menerima idea konsep ini lalu merencana idea-idea dan dasar ke arah membina sebuah Bangsa Malaysia. 
_____________________
Mohd Najib, 11 Feb 2014.

BANTUAN PENDIDIKAN JOHOR

$
0
0

Berikut saya kongsikan semula artikel yang saya siarkan di Page SISWA ANAK JOHOR (Klik sini) untuk bacaan dan rujukan semua pembaca blog saya. 


***********************************************************************************************

Ramai yg bertanya di inbox kami: 


"Anak negeri lain masuk U dapat RM1,000." 
"Anak Johor tak dapat ke?" 

Jawapan kami: 

Bantuan sebegini telah disediakan bermula tahun 2010 oleh YPJ dengan nama Skim Bantuan Pendaftaran IPTA (SBP). Skim ini membantu Anak-anak Johor yg akan mula mendaftar di tahun pertama di IPTA, bagi pengajian sepenuh masa peringkat Sijil, Diploma dan Sarjana Muda. Pihak YPJ akan membantu membiayai yuran pendaftaran kemasukan. 

Bagaimana nak mohon? 

Dapatkan borang di Pejabat YPJ Larkin atau di laman web. Isikan lengkap beserta pengesahan Pejabat Wakil Rakyat atau Pejabat Daerah. Hantarkan ke Pejabat YPJ beserta dokumen lengkap. Lampirkan Resit Pembayaran Yuran (Jika sudah bayar). Jika belum, bawa lampiran senarai yuran pendaftaran. Tempoh akhir ialah sebulan selepas pendaftaran kemasukan. Jumlah bantuan yg diberikan tertakhluk kepada jumlah yuran yg perlu dibayar. 

Selain YPJ, ada tak agensi lain yg sediakan bantuan? 

Ada. Bantuan sama turut disediakan oleh Perbadanan Islam Johor (PIJ) iaitu Bantuan Kemasukan Pelajar Ke IPTA. Cara memohonnya lebih kurang sama spt Skim YPJ. Bezanya jumlah bantuan. RM700 bagi semenanjung dan RM1,000 bagi Sabah/Sarawak. Namun bermula Januari 2014, bantuan ini telah dimansuhkan kerana proses penyelarasan bantuan pendidikan yg dibuat kerajaan negeri menetapkan pihak YPJ satu-satunya agensi negeri yg bertanggungjawab menyediakan bantuan pendidikan Johor. 

Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) juga ada sediakan bantuan serupa. Permohonan melalui pejabat baitulmal atau Amil setiap kawasan. Namun, bantuan ini amat terhad. Dan kini, bantuan MAIJ hanya bertumpu kepada Anak Johor yg melanjutkan pengajian di Timur Tengah spt Mesir dan Jordan. 

Kenapa ramai yg tak tahu wujudnya bantuan spt ini? 

Kami pun tak pasti kenapa ramai yg tak tahu. Mungkin sebab kurang hebahan. Bila diajukan kepada pihak berkaitan, mereka kata sudah disiarkan di laman web. Jadi, kepada anda yg telah baca artikel ini, sila peka dan kongsikan bersama kepada saudara-mara, kawan-kawan, jiran tetangga dan sewaktu dengannya. 

Juga kami ingin pesan kepada semua wakil rakyat di Johor ! 
YB semua pasti sudah maklum tentang bantuan-bantuan yg diwujudkan untuk rakyat jelata, sama ada berkaitan kebajikan sosial, ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Kenapa tidak dihebahkan kepada semua rakyat di kawasan YB ? Nama pun wakil rakyat. Kena lah peka. BUKAN PEKAK ! Mana-mana YB yg tahu tolong lah ingatkan YB yg tak tahu. Jangan selfish sangat semata-mata mahu rakyat di kawasan dia saja dapat bantuan. 

Akhir sekali, kami ucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada YAB MB dan YB Exco Pendidikan, kerana prihatin dan ambil berat terhadap bidang pendidikan di Johor. Kepada anda yg ada masalah berkaitan pendidikan, salurkannya terus ke Pejabat MB atau Pejabat Exco Pendidikan. Insha Allah, ada yg membantu. 

Kami share artikel ini sebab prihatin. 
Anda bagaimana ?

-Salam Muafakat Johor-
-AdminMohdNajib-



Kembara Mahkota Johor 2014: Sultan Johor Pandu Bas

$
0
0

Johor Bahru, 23 Mei: Selepas bermotosikal dan menaiki kereta api, Kembara Mahkota Johor (KMJ) kali ke-17 pada tahun ini menampilkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berangkat mencemar duli bertemu rakyat dengan menggunakan bas khas.

KMJ selama empat hari dijangka bermula dari 21 hingga 24 Jun depan, Sultan Ibrahim akan memandu sendiri dengan bas yang dibeli dari Amerika Syarikat, jenama Prevost Marathon Coach. 

Lebih unik, baginda akan memandu bas keluaran syarikat dari Kanada yang menggunakan kaedah pemanduan sebelah kiri. 

“Saya akan pandu sendiri, tidak ada masalah mengenainya kerana saya ada lesen memandu,” titahnya ketika temubual eksklusif bersama The New Straits Times Press (M) Berhad di Istana Pasir Pelangi di sini, semalam.


Menurutnya, bas ditempah khas itu lengkap dengan peralatan dan kemudahan termasuk tempat tidur dan baginda tidak perlu bermalam di rumah rakyat seperti KMJ sebelum ini.

Katanya, baginda tidak mempunyai masalah bermalam di rumah rakyat dikunjunginya, namun keadaan itu menyebabkan mereka menjadi serba salah. 

“Untuk tidak menyusahkan sesiapa, saya gunakan bas pada tahun ini dan akan tidur di dalamnya di tempat yang akan disinggahi nanti. 

“Saya akui pastinya bas ini akan menjadi tumpuan rakyat di tempat kami singgah nanti. Saya juga berpeluang berbual dan minum bersama rakyat, walaupun bermalam dalam bas,” titahnya.

-SUMBER-

BAJET 2015: KENYATAAN MENTERI BESAR JOHOR

$
0
0
KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR JOHOR MENGENAI BAJET 2015

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah, kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya negara kita terus kekal aman dan makmur disamping dikurniakan pelbagai sumber rezeki untuk dinikmati oleh rakyatnya.

Mewakili rakyat Johor, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak kerana perbentangan Bajet 2015 sebentar tadi dilihat banyak memberi manfaat kepada rakyat secara umumnya. Ia sekali gus selari dengan prinsip yang dipegang oleh Kerajaan Negeri iaitu Pembangunan Pro-Rakyat, Merakyatkan Kerajaan dan Muafakat Johor.

Seperti semua sedia maklum, peningkatan kos sara hidup di Negara kita kebelakangan sememangnya menjadi kebimbangan kepada setiap lapisan rakyat. Justeru, Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam memastikan bebanan rakyat dalam menghadapinya dapat diatasi. Ia termasuklah dengan penurunan kadar cukai pendapatan individu daripada 1 hingga 3 mata peratusan yang mana ini bermaksud sebanyak 300,000 rakyat tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan.

Sebagai sebuah negeri yang menjadi pelopor kepada pembinaan rumah mampu milik di negara ini, maka Kerajaan Negeri Johor menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan dalam memastikan lebih ramai rakyat mampu memiliki kediaman sendiri. Saya yakin dan percaya, dengan pelbagai inisiatif perumahan yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib dalam perbentangan Bajet 2015 sebentar tadi, akan lebih banyak rumah mampu milik dapat dibina bukan sahaja di negeri Johor malah di seluruh negara.

Seperti semua sedia maklum, Kerajaan Negeri Johor sentiasa menggalakkan rakyat di negeri ini untuk menceburi bidang keusahawanan. Ia supaya kepesatan ekonomi di Johor akan dapat dinikmati oleh setiap lapisan rakyat di negeri ini. Atas sebab itulah, Kerajaan Negeri turut menyambut baik usaha Kerajaan Pesekutuan dalam menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk para usahawan di negara ini.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan dalam membantu rakyat yang menghadapi penyakit serius seperti jantung, buah pinggang dan kencing manis dengan pemberian pengecualian cukai sebanyak RM5,000 setahun dan penambahan mesin haemodialisis di beberapa hospital dan klinik kesihatan selain penambahan sebanyak 30 Klinik 1Malaysia di seluruh negara. Kerajaan Negeri turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana merancang pembinaan Klinik Gigi di daerah Kluang.

Akhir sekali, saya melihat perbentangan Bajet 2015 kali ini jelaslah menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dengan keperluan dan kehendak rakyat. Diharapkan dengan setiap apa yang kita rancang ini akan mendapat keredhaan Allah SWT. Semoga Malaysia mampu menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Insya-Allah.

Sekian.

MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI BESAR JOHOR

10 OKTOBER 2014

Viewing all 52 articles
Browse latest View live